Tuesday, June 15, 2010

Karangan Sekolah - Pengalaman Masa Kecik-kecik (1)

Hari ini saya ingin sangat menceritakan pengalaman saya masa kecil-kecil dahulu. Saya dilahirkan di negeri paling hujung di benua Asia. Semua adik beradik saya pun beranak di negeri yang sama. Mak saya pun sama. Saya gembira dilahirkan di negara ini dan bukannya di Nepal atau Monggolia seperti mana yang dilaung berulang kali oleh pemimpin-pemimpin kita. Rakyat perlu berSyukur. Masa kecik-kecik dulu seingat saya, saya amat handsome. Lebih handsome dari kakak dan adik perempuan saya. Mungkin saya lelaki sebab itu saya handsome dari mereka.


Bila ayah sudah pencen askar, ayah cakap kami akan berpindah ke Penang. Masa tu saya baru darjah satu. Saya naik hairan. Sebab apa kami berpindah ke Penang bukan Pulau Pinang. Cikgu Munirah pun tak pernah sebut kat Malaysia ada Penang. Tapi ayah cakap Penang tu Pulau Pinang. Saya percaya sebab ayah selalu bercakap benar. Ketika itu, hati saya sangat gembira. Tapi kadang-kadang saya rasa tak best. Saya tak boleh naik kereta tank lagi. Kalau tak, boleh saya berangan-angan tembak burung atau orang jahat.

Tiba di Penang, saya duduk di rumah tinggalan Tok saya. Besar gila bila tengok rumah tu. Rumah yang saya duduk tu rumah papan. Saya ucap terima kasih pada Tok sebab dia bagi kami rumah banglo. Cikgu Munirah pernah cakap, kalau rumah sebiji sebiji kita panggil banglo. Rumah tu ada satu jamban dan satu bilik air kat luar. Bilik air dia pun besar tak macam bilik air flet askar. Dalam tu ada kolah yang kadang-kadang tempat saya berendam. Air tu juga kakak dan adik saya mandi. Bila malam time nak berak, saya takut pergi sorang-sorang. Saya ajak mak atau adik perempuan saya teman. Kalau ayah saya tak berani nak ajak. Takut-takut dia bagi penampar. Kami akan berjalan berpegangan tangan ke jamban sambil bawa pelita. Tapi bila time balik mak dah tak mau pegang tangan saya lagi.

Tiba waktu pagi, saya akan mandi dahulu sebelum ke sekolah. Saya tak boleh mandi air sejuk sebab kulit saya tak tebal macam beruang kutub. Macam biasa, Mak akan jerang air panas, kemudian campur dengan air sejuk sampai suam. Kalau tak buat saya boikot tak mahu pergi sekolah. Kakak dan adik saya pun tiru perangai saya. Setelah siap mandi, Mak sediakan sarapan dan beg sekolah kami. Ayah belikan beg sekolah yang sama jenis untuk kami bertiga. Saya sayang Ayah sebab beg yang dia beli tu memang cantik. Beg sekolah tu ayah cakap takkan koyak. Sama kuat dengan beg askar.

Bila sudah siap, saya, kakak dan adik akan tunggu van untuk ke sekolah. Kami akan naik van Pakcik Mansur.Saya suka bila naik van Pakcik Mansur. Saya akan duduk kat depan sebelah tingkap, sebab bila duduk belakang tak boleh kena angin. Pakcik Mansur memang pandai bawak van. Satu van, Pakcik Mansur boleh bawak satu kelas darjah satu ramainya. Bila balik pun macam tu juga. Kadang-kadang saya akan sesak nafas bila terpaksa duduk di belakang. Baju saya pun dah jadi bau lain, sampai saya boleh perah baju saya. Tapi Mak tak boleh marah Pakcik Mansur sebab yuran sebulan bayar van baru tujuh ringgit. Kakak saya kadang-kadang ada complaint sebab dia kena jadi tukang buka-tutup pintu van. Pakcik Mansur tak pernah bayar kat dia duit upah.

****
bersambung
****

0 orang bergosip:

Post a Comment